Sejarah Umum Kesultanan Melayu Terengganu

Kesultanan Melayu Terengganu yang ada kini diasaskan lebih tiga ratus tahun dahulu sekitar tahun 1708M. Sehingga kini, Terengganu telah diperintah oleh 17 sultan dan institusi ini kekal berdaulat sehingga hari ini. Sultan yang menduduki takhta kerajaan negeri Terengganu pada hari ini adalah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah yang menaiki takhta kerajaan pada 15 Mei 1998M bersamaan 18 Muharram 1419H setelah kemangkatan Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah.


PENGASAS

Pengasas Kesultanan Melayu Terengganu hari ini adalah Sultan Zainal Abidin I (Marhum Keledang). Baginda merupakan putera kepada Bendahara Tun Habib Abdul Majid atau dikenali juga sebagai Bendahara Padang Saujana. Sultan Zainal Abidin I menjadi Sultan Terengganu pada tahun 1708 berdasarkan duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama baginda dan tahun 1210H.

Baginda bersemayam di Kampung Tanjung Baru, Kuala Berang. Setelah itu, baginda berpindah ke Kota Batang Mahang, ke Langgar, dan ke Pulau Manis. setelah itu, baginda berpindah lagi ke Chabang Tiga sebelum akhirnya bersemayam di Bukit Keledang sehingga akhir hayat baginda.


PEMBINAAN TAMADUN PERTUKANGAN KAPAL DAN PERLAYARAN

Institusi kesultanan memainkan peranan dalam pembinaan tamadun pertukangan kapal dan perlayaran. Pembangunan teknologi pembinaan Perahu Besar Terengganu yang menggabungkan teknologi pembinaan kapal Eropah dan seni Melayu didorong oleh Baginda Umar yang menjadi Sultan Terengganu ketika itu. Kehadiran dua orang Perancis yang terdampar di Pulau Kapas telah mencetuskan perkembangan baru kepada tamadun pertukangan kapal dan perlayaran Terengganu dan didorong oleh Baginda Umar sendiri.


PEMBANGUNAN AKHLAK DAN PEMBINAAN JATIDIRI TERENGGANU

Kesultanan Terengganu memainkan peranan kepada pembangunan jatidiri Terengganu kini. Dengan galakan daripada Baginda Umar yang memperkenalkan Wakaf Baginda Umar, ilmuan Islam Nusantara berhijrah ke Terengganu dengan kemudahan yang diberikan kepada pengajar agama. Ilmu dan kadar celik agama di Terengganu meningkat tinggi. Semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III pula, baginda juga memberi kemudahan kepada pengajar agama dan melibatkan golongan berkenaan secara terus bersama di dalam pemerintahan. Baginda telah digelar dengan gelaran ‘Sultan Regu Ulama’ kerana baginda sering merujuk golongan agama dalam pelbagai soal pemerintahan. Kebijaksanaan baginda ini berjaya mengekang pengaruh British yang ingin menjajah Terengganu. Kerana kemudahan kepada pengajar agama ini, Terengganu telah digelar dengan gelaran Darul Iman.


PEMBANGUNAN GAMELAN MELAYU

Gamelan tiba di Tanah Melayu melalui Riau-Lingga sejak kurun ke-17. Daripada Riau, kesenian berkenaan berkembang di istana Pahang dan dikenali sebagai Joget Pahang. Kesenian ini berkembang ke Terengganu apabila Joget Pahang dipersembahkan semasa perkahwinan Sultan Zainal Abidin III dengan puteri Sultan Ahmad Muadzam Shah Pahang. Baginda yang tertarik meminjam perkakasan muzik dan pemuzik dari Riau-Lingga tanpa penari ke istana Terengganu.

Gamelan Melayu yang berkembang di Riau-Lingga dan Pahang hampir lenyap namun, keadaan ini berubah setelah Tengku Ampuan Mariam berkahwin dengan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Pada tahun 1936, Terengganu mempunyai set gamelan sendiri dan kesenian ini berkembang dengan pembangunan penari dan gerak tari gamelan, serta lagu gamelan dicipta oleh baginda selain mengembangkan lagu asal daripada Pahang dan Riau-Lingga.

Gamelan Melayu dikembangkan oleh institusi diraja Terengganu dan diketengahkan oleh Tan Sri Mubin Sheppard pada tahun 1966 dengan izin Tengku Ampuan Mariam, pemuzik istana Encik Muhammad Bin Ismail dan penari istana Puan Adnan Binti Abdullah.


SULTAN-SULTAN TERENGGANU

Sultan-sultan yang pernah menaiki takhta Kesultanan Terengganu adalah:

  1. Sultan Zainal Abidin I, Marhum Bukit Keledang, 1708M hingga 1733
  2. Sultan Mansur I, Marhum Janggut, 1733M hingga 1794M
  3. Sultan Zainal Abidin II, Marhum Masjid / Marhum Mata Merah, 1794M hingga 1808M
  4. Sultan Ahmad I, Marhum Parit, 1808M hingga 1830M
  5. Sultan Abdul Rahman, Marhum Surau, 1830M
  6. Sultan Daud, Marhum Kampung Daik, 1831M
  7. Sultan Mansur Shah II, Marhum Mansur, 1831M hingga 1836M
  8. Sultan Muhammad Shah I, Marhum Telor, 1836M hingga 1839M
  9. Baginda Umar, Marhum Baginda, 1839M hingga 1875M
  10. Sultan Ahmad Shah II, Marhum Baharu, 1875M hingga 1881M.
  11. Sultan Zainal Abidin III, Marhum Haji, 1881M hingga 1919M
  12. Sultan Muhammad Shah II, 1919M hingga 1920M
  13. Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, 1920M hingga 1942M
  14. Sultan Ali, 1942M hingga 1945M
  15. Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 1945M hingga 1980M
  16. Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, 1980M hingga 1998M
  17. Sultan Mizan Zainal Abidin, 1998M hingga sekarang

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/gombgnet/public_html/ganupedia.com/wp-includes/functions.php on line 5109