Sultan Mansur II (Marhum Mansur)

Sultan Mansur II merupakan sultan Terengganu yang ketujuh, memerintah dari tahun 1831M hingga 1837M. Baginda merupakan sultan yang mengadapi konflik Perang Saudara Terengganu yang berlanjutan selama sembilan tahun dengan Sultan Umar.


PERTABALAN

Baginda ditabalkan pada 16 Syaaban 1246H bersamaan 31 Januari 1831M dengan gelaran Sultan Mansur Kedua. Baginda merupakan putera Sultan Zainal Abidin II dan ayahanda saudara kepada Sultan Daud. Bondanya bergelar Cik Puan Muda.


PEMERINTAHAN

Pada zaman pemerintahan baginda, ada pahlawan Terengganu ke Patani membantu negeri itu dari serangan Siam. Antara penglima yang terlibat adalah:

  1. Panglima Tengku Ibrahim
  2. Panglima Wan Kamal
  3. Panglima Ismail

Namun, Patani tidak dapat menahan serangan Siam dan beberapa pahlawan dan pembesar Patani datang berlindung ke Terengganu dan Kelantan. Siam mendesak supaya diserahkan pelarian berkenaan. Pada bulan Ogos 1832M, beberapa kapal Siam datang ke Terengganu mencari pelarian tetapi belayar balik. British juga menghantar sebuah kapal perang ke Terengganu dalam usaha menghalang Siam daripada menyerang Terengganu dan Kelantan.

Pada zaman pemerintahan baginda juga Terengganu terlibat dengan Perang Saudara melibatkan baginda dan Sultan Umar.


KEMANGKATAN

Baginda mangkat pada 1837M. Ada yang berpendapat baginda mangkat pada tahun 1836M. Baginda dimakamkan di Makam Diraja Syeikh Ibrahim dengan gelaran Marhum Mansur.


REKOD BRITISH

Seorang pelayar British bernama George Windsor Earl dan rakannya Robert Hunter telah singgah dua kali di Terengganu pada tahun 1833M dan 1835M. Semasa kedatangan pertama, Windsor menceritakan bahawa Sultan Terengganu mengadakan pakatan dengan pembesar manakala kedatangan yang kedua beliau menyatakan wujudnya dua buah kubu yang tiangnya daripada kayu, tingginya 40 kaki dan ada meriam beserta pelurunya.

Sebuah meriam berkenaan ditemui di Pantai Teluk, Kuala Terengganu dan disimpan di Muzium Negeri Terengganu.

 


Rujukan:

  1. Sejarah Darul Iman, MISBAHA