Baginda merupakan Sultan Terengganu ke-14, merupakan putera Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Baginda naik takhta semasa zaman penjajahan Jepun dan bersemayam di Kuala Terengganu juga. Baginda naik takhta pada bulan September 1942. Semasa pemerintahan baginda, Jepun menyerahkan Terengganu kepada Siam pada bulan Disember 1943.
DITURUNKAN TAKHTA
Pada September 1945, selepas Jepun menyerah kalah dan British mengambil alih Terengganu, Majlis Mesyuarat Negeri Terengganu telah bersidang dan mengambil ketetapan memecat baginda daripada takhta dan digantikan dengan ayahanda saudara baginda iaitu Tengku Ismail yang kemudiannya bergelar Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Pemecatan Sultan Ali dari takhta dilakukan oleh kerabat diraja dan orang besar Terengganu, walaupun ketika itu tersebar pendapat ramai mengatakan bahawa ianya adalah anjuran British. Ini dinafikan oleh pihak yang terlibat dengan menyatakan bahawa Sultan Ali diangkat oleh pemerintah Jepun dan baginda melakukan beberapa kesilapan ketika menjadi sultan dan ini menjadikan baginda tidak lagi layak sebagai sultan.
Pemecatan Sultan Ali dan pemilihan Tengku Ismail disiarkan oleh akhbar “Cermin Malaya” pada Februari 1948.
Penyaksian pemecatan Sultan Ali dan pemilihan Tengku Ismail telah ditandatangani pada 13 Januari 1948 oleh:
- Umar Bin Mahmud
- Tengku Hitam
- Abdul Rahman
- Muhammad Saleh Bin Ahmad
- Abu Bakar Bin Mustafa
- Tengku Embung
- Abdullah
- Abdul Kadir
- Abdullah Bin Yunus
- Wan Muda Bin Ali
- Tengku Hitam Hussain
- Muhammad Hashim
- Tengku Wok
Baginda mangkat pada 17 Mei 1996 dan dimakamkan di Makam Diraja Masjid Abidin, Kuala Terengganu
Sumber:
- Sejarah Trengganu, Hj Buyong Adil