Sambutan Ramadhan di Terengganu

Amalan masyarakat Melayu Terengganu dalam menyambut ketibaan bulan Ramadhan bermula ketika sambutan Nisfu Syaaban (malam 15 Syaaban). Pada malam berkenaan, surau dan masjid dipenuhi oleh penduduk dengan bacaan Yassin, kadangkala ditambah dengan qasidah dan syair puji-pujian kepada Allah dan Rasul-Nya daripada kitab-kitab syair Arab dan bacaan syair ini berterusan kadangkala sehingga ke pagi. Pada malam ini juga, makanan dan manisan tradisi Terengganu mula dihidangkan di surau dan masjid. Malam ini juga dianggap sebagai malam kesyukuran di atas nikmat rezeki dan makanan dihidangkan dan dibahagikan kepada penduduk kampung.

Tanda aras Nisfu Syaaban memberi makna bahawa masyarakat Terengganu sudah mula bersedia menyambut Ramadhan. Ketika ini, jemaah masjid dan surau mulai menyediakan segala kelengkapan dan menganjurkan bacaan-bacaan memuji Allah dan Rasul-Nya sehinggalah bermulanya Ramadhan.

Pada hari terakhir bulan Syaaban sejurus selepas waktu Asar masuk, akan kedengaran tujuh das bedil dilepaskan untuk menandakan masuknya bulan Ramadhan. Sebelum bedil, genta di Bukit Puteri juga akan dibunyikan sebanyak tujuh kali. Tidak terkecuali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu juga membunyikan genta mereka untuk menandakan waktu sepanjang bulan Ramadhan.

Bermulanya bulan Ramadhan, lelaki Terengganu yang bujang, kanak-kanak dan remaja berkumpul di surau dan masjid selepas Solat Sunat Tarawih dan melakukan amalan sunat. Selepas itu mereka akan tidur beramai-ramai di surau dan masjid sehinggalah waktu sahur. Kemudiannya, mereka akan bangun dan kembali ke rumah masing-masing untuk bersahur. Selepas itu, mereka akan kembali semula ke masjid dan surau untuk Solat Subuh berjemaah.

Bagi lelaki Terengganu yang tidak mempunyai sebarang urusan, mereka akan berkumpul di masjid dan surau pada waktu Zohor untuk melakukan amalan sunat dan bersosial. Anjung dan wakaf sekitar surau dan masjid menjadi tumpuan mereka untuk bersembang dan mengisi masa lapang.

Mereka akan menunggu sehingga waktu Asar, dan mula membuat bubur lambuk selepas Solat Asar. Kalangan lelaki Terengganu yang tidak mempunyai kerja dan urusan akan mula memenuhi surau dan masjid dan melakukan kerja-kerja memasak di surau dan masjid. Kemudian, kaum wanita akan keluar ke surau dan masjid sebelum masuk waktu berbuka sambil membawa bekas makanan untuk diisi dengan bubur lambuk. Satu keadaan yang menarik di sini, setiap mereka yang datang menyediakan bubur lambuk membawa bahan masing-masing dan dikumpulkan serta memasak bersama. Keadaan ini berlaku pada setiap hari. Tidak terhad kepada bubur lambuk, ada yang membawa hasil laut dan dibakar di surau dan masjid serta dibahagikan kepada penduduk kampung.

Suatu keadaan yang menarik semasa bulan Ramadhan adalah, dikalangan pemimpin dan pengajar agama di Terengganu, bermula daripada 15 Ramadhan sehinggalah ke akhirnya, mereka akan menganjurkan solat hajat memohon kesejahteraan negeri dan rakyat pada setiap malam. Solat hajat ini juga dilakukan di atas seruan baginda Sultan Terengganu sendiri sepertimana ditunjukkan oleh Sultan Zainal Abidin III dalam menghadapi ancaman campurtangan British di Terengganu pada ketika itu. Baginda sendiri mengutus surat kepada semua pengajar dan pemimpin agama di Terengganu untuk mengadakan solat hajat.

Amalan yang ditunjukkan oleh baginda Sultan Terengganu ketika itu bukanlah amalan baru. Solat hajat untuk kesejahteraan masyarakat, negeri dan kehidupan sering dilakukan dan merupakan satu usaha untuk memastikan Terengganu terus dipelihara Allah Taala.

Keadaan ini berterusan sehingga kepada malam 1 Syawal. Selepas waktu Isyak pada malam 1 Syawal, masjid dan surau di Terengganu mula mengadakan bacaan qasidah, berzanji dan syair Arab memuji Allah Taala dan Rasul-Nya.

Semua amalan ini dilakukan oleh Bangsa Terengganu pada bulan Ramadhan, dan ini memberi petunjuk bahawa Bangsa Terengganu merupakan bangsa yang tinggi kesatuan masyarakatnya dan membantu antara satu sama lain dalam mencapai keredhaan Allah Taala. Bukannya satu kebetulan bagi Terengganu memperoleh gelaran Darul Iman tanpa akhlak dan budi masyarakatnya yang tinggi.


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/gombgnet/public_html/ganupedia.com/wp-includes/functions.php on line 5109