Perperangan Besut

Pada zaman pemerintahan Sultan Mansur I, ketua daerah Besut bernama Encik Namat pernah memohon bantuan baginda untuk menghapuskan lanun-lanun yang berleluasa di pantai Besut. Anak baginda bernama Tengku Abdul Kadir datang dan mengetuai pembasmian ini dan akhirnya beliau dilantik sebagai pemerintah Besut dengan dibantu oleh Encik Namat sebagai pembesar daerah.

Tengku Abdul Kadir mendirikan benteng pertahanan di sepanjang Sungai Besut dan mendirikan istana di Kampung Raja.


PUNCA KONFLIK

Anak Tengku Abdul Kadir iaitu Tengku Ali telah mengambil alih pemerintahan dari bapa beliau tetapi enggan mematuhi perintah dari Kuala Terengganu di bawah pentadbiran Sultan Umar.


PERMULAAN KONFLIK

Dasar memerintah daerah secara terus oleh Sultan Umar menyebabkan Tengku Ali enggan mematuhi arahan dari Kuala Terengganu. Beliau yakin dapat menentang Terengganu kerana mendapat bantuan dari Kelantan. Tengku Ali dijemput oleh Sultan Umar untuk hadir ke majlis pelantikan Yamtuan Muda oleh Tuan Muda, Tengku Ibrahim dan Orang Kaya Megat Seri Mahkota, Tengku Ali sedang berkumpul dengan pasukan bersenjata dari Kelantan untuk menyerang Terengganu.

Baginda terus mengutus surat bantahan ke Siam di Senggora (Songkla) serta mengutus surat bantahan serta amaran kepada Kelantan agar jangan masuk campur urusan dalaman Terengganu. Baginda juga menghantar mufti Wan Abdullah Bin Muhammad Amin (Tok Syeikh Duyong) ke Kelantan dengan menyampaikan hasrat baginda bahawa baginda tidak berniat untuk mengubah sempadan Terengganu-Kelantan yang telah ditetapkan sebelum ini.

Pada 23 Syawal 1292H bersamaan 22 November 1875, baginda menghantar ketumbukan tentera seramai 8, 000 orang. Setelah tentera tiba di Besut melalui jalan darat dan laut didapati Tengku Ali telah melarikan diri ke Kelantan.

Pemerintahan Besut kemudiannya diwakilkan kepada Tengku Ngah, sebelum digantikan oleh Tengku Chik Haji (anak Tengku Abdul Kadir). Pada zaman pemerintahan Tengku Chik Haji, daerah Besut mulai berubah dan maju.


JUMLAH TENTERA

Tentera: 8, 000 orang
Ketua: Panglima Besar Orang Kaya Megat Seri Mahkota Raja (Wan Abdul Rahman Bin Idris), sepupu Sultan Umar
Penolong Ketua:
Tengku Yusof Panglima Kedai Payang
Tengku Long Bin Mustaffa (Tengku Long Pandikar)
Tengku Nik
Panglima Perang:
Encik Musa
Dato’ Bandar Jaafar
Tuk Kaya Mahkota Haji Abdul Rahman
Tuk Setia Wan Ismail Kampung Gedung
Ketua Taktikal: Engku Saiyed Seri Perdana (Engku Saiyed Zain Bin Muhammad)

 


Rujukan:

  1. Sejarah Darul Iman, MISBAHA