Keropok Lekor

Keropok lekor merupakan makanan tradisional negeri Terengganu. Makanan yang berasaskan ikan ini merupakan makanan sepanjang masa bagi masyarakat Terengganu dan menjadi salah satu daripada identiti Terengganu. Makanan ini dihidangkan bersama dengan pencicah yang dikenali sebagai ‘cuka lada’ dan boleh dihidangkan berasingan atau dituangkan ke atas keropok secara terus.

Menurut penceritaan lisan daripada masyarakat Kuala Terengganu dan Losong, tidak diketahui dari mana kawasan asal makanan ini dicipta. Namun, sehingga akhir 1960-an kawasan sekitar Tanjung, Kuala Terengganu, terutamanya sekitar Kedai Tanjung dari Tanjung Jati sehingga ke Tanjung Haji Mat Taukey merupakan kawasan pembuatan dan penjualan keropok, sama ada keropok keping atau keropok lekor.

Keropok lekor goreng tanpa rebus, atau dikenali oleh masyarakat Terengganu sebagai ‘keropok lekor goreng selalu’ muncul pada awal 1970-an di sekitar Pasar Ladang sehingga ke Ladang Mengabang di Kuala Terengganu. Sehingga kini, keropok ini menjadi salah satu daripada pilihan penggemarnya.


KEROPOK LOSONG

Akhir 1960-an dan awal 1970-an, pembuatan keropok mulai berpindah ke kawasan Losong Haji Su dan Kuala Hiliran. Perpindahan ini tidak melibatkan perpindahan perniagaan tetapi permulaan kawasan perniagaan baru disebabkan Kedai Tanjung tidak lagi menjadi jeti perikanan dan fungsi Tanjung mulai berkurangan akibat perobohan Pasar Besar Kedai Tanjung. Akibat perobohan pasar ini, urusan perniagaan dan jualan berpindah ke Pasar Besar Kedai Payang yang dahulunya merupakan kawasan pasar kecil sahaja, dan kegiatan perikanan dan melabuhkan hasil perikanan berpindah ke Pulau Kambing.

Ini menyebabkan Losong menjadi tempat yang sesuai untuk perniagaan keropok dan hasil laut tradisi Terengganu dan kini Losong merupakan satu identiti unik Terengganu yang tidak dapat dipisahkan oleh penduduknya.


PENGGEMAR

Sehingga 1970-an, keropok lekor hanya diminati oleh penduduk negeri Terengganu sahaja. Dengan bermulanya perkahwinan campuran antara masyarakat Terengganu dan penduduk luar Terengganu, makanan tradisional Terengganu mula diperkenalkan ke luar.

Sehingga waktu berkenaan, pelancong dari luar Terengganu hanya datang untuk mencari barangan tembaga, perkakasan dapur dan hiasan, songket dan batik serta hasil kerja kraftangan tradisional. Ketika itu, cara permakanan dan makanan tradisi Terengganu dianggap busuk, hanyir dan kotor. Makanan berasaskan ulaman yang mempunyai bau yang kuat juga kurang digemari oleh pelancong.

Makanan tradisional Terengganu termasuklah keropok lekor tidak menjadi perhatian mereka. Setelah integrasi masyarakat berlaku, makanan berkenaan mulai digemari dan keropok lekor menjadi salah satu daripada tarikan yang unik bagi Terengganu. Daripada akhir 1970-an sehingga kini, Losong menjadi tumpuan bagi peminat keropok lekor dari seluruh pelusuk negara Malaysia.


GAMBAR

 

 

 


Rujukan:

  1. En Ismail Bin Haji Awang, penduduk asal Ladang-Tanjung.
  2. En Ibrahim Bin Muda, penduduk asal Losong

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/gombgnet/public_html/ganupedia.com/wp-includes/functions.php on line 5109