Datuk Paduka Diraja Wan Abdul Rahman

Datuk Paduka Diraja Wan Abdul Rahman merupakan seorang pahlawan yang hidup pada zaman sebelum pemerintahan Kesultanan Melayu Terengganu. Pada ketika itu, Terengganu diperintah oleh wakil dari Johor, Bendahara Padang Saujana Tun Habib Bin Abdul Majid. Beliau dikatakan berasal dari Kemboja dan menjadi pahlawan yang disegani di dalam Kesultanan Melayu Johor.


PANGKAT DAN KEBESARAN

Pada mulanya beliau dilantik sebagai Ketua Juak Raja, kemudiannya diberikan pangkat sebagai Panglima Muda, dan selepas itu digelar sebagai Megat Seri Rama. Setelah Kepulauan Tujuh (Sekarang Kedewanaan Pulau Tujuh, Provinsi Riau, Indonesia) berjaya ditakluk dan berjaya mengalahkan Linggi, beliau dikurniakan dengan gelaran Paduka Diraja. Pangkat berkenaan adalah pangkat perintis kepada jawatan Bendahara.


SEJARAH

Setelah dikurniakan gelaran Paduka Diraja, iri hati dan hasad dengki mulai timbul oleh rakan sejawatannya, dan bermulalah fitnah terhadap beliau. Beliau telah didakwa telah bermukah dengan salah seorang gundik Sultan Abdul Jalil IV, Sultan bagi wilayah Johor dan jajahan takluknya ketika itu.

Menurut catatan Dato’ Seri Nara Wangsa (Dato’ Mata-mata) Encik Muhammad Ali Bin Abdul Rahim menyatakan bahawa, pada ketika itu, Sultan Johor mengarahkan pahlawannya bernama Wan Derahman (Wan Abdul Rahman) menyerang negeri Siantan (Kecamatan Siantan, Kabupaten Mempawah, Provinsi Riau, Indonesia). Setelah berjaya, beliau memperoleh gelaran Datuk Paduka Raja. Ini menyebabkan menteri-menteri Sultan Johor merasa iri hati dan dengki dengan kejayaan Datuk Paduka Raja.

Menteri-menteri berkenaan bertemu dengan salah seorang dayang yang paling dikasihi oleh Sultan Johor, dan meminta gundik berkenaan membuat sapu tangan palsu yang meniru sapu tangan kurniaan Sultan Johor pada gundik berkenaan. Setelah mendapat sapu tangan berkenaan, menteri berkenaan menyerahkan sapu tangan berkenaan kepada hulubalang istana. Hulubalang berkenaan mencarikkan sapu tangan berkenaan kepada dua.

Keesokan harinya, hulubalang berkenaan menghadap Sultan Johor, menceritakan bahawa Datuk Paduka Raja dilihat berebut sapu tangan dengan dayang baginda. Kemudiannya sapu tangannya terkoyak, dengan sebahagiannya diambil oleh Datuk Paduka Raja, manakala sebahagian lagi dibuang ke tanah oleh dayang-dayang. Hulubalang berkenaan menceritakan bahawa dia mengambil sapu tangan berkenaan dan menunjukkannya pada Sultan Johor.

Sultan Johor mengenali sapu tangan berkenaan, dan memerintahkan supaya Datuk Paduka Raja dibunuh. Ketika itu, Datuk Paduka Diraja berada di dalam perahunya yang bernama Kota Beredar. Selepas diserang, Datuk Paduka Diraja cuba melawan, tetapi peluru meriamnya cuma keluar sejauh enam hasta ketika ditembak. Datuk Paduka Diraja merasakan bahawa dia telah terkena tulah kerana menderhaka, maka dia mengangkat layarnya dan melarikan diri.

Beliau belayar ke Riau, menuju Pulau Tinggi tetapi dikejar oleh tentera Johor. Kemudiannya, beliau lari ke Pahang. Ketika cuba untuk masuk ke Kuala Pahang, beliau melihat tentera mengejarnya terlalu dekat. Beliau menghamparkan kajang di atas air dan meninggalkan semua harta rampasan perang Siantan di atas kajang berkenaan. Tentera dan mereka yang mengejar Datuk Paduka Raja terlihat harta berkenaan dan terus merebut harta itu, memberi peluang kepada Datuk Paduka Raja melarikan diri ke Terengganu.

Beliau mendamparkan perahunya di Pantai Bari, dan tempat beliau menarik perahu ke darat dipanggil Penarik. Beliau terus melarikan diri ke barat, melalui hutan di pinggir Sungai Setiu. Tentera yang mengejarnya merampas perahu beliau dan dibawa ke Seberang Takir untuk dirampas hartanya. Datuk Paduka Raja dan pengikutnya melarikan diri sehingga ke Padang Permaisuri (Kampung Permaisuri).

Pembesar Terengganu ketika itu, Tun Lahat, menghantar pengikutnya supaya mencari dan menangkap Datuk Paduka Diraja dan dibawa pulang ke Kuala Terengganu. Setelah berjaya menangkapnya. Datuk Paduka Diraja dibawa pulang. Di dalam perjalanan, sampai perintah dari Sultan Johor supaya dibunuh semuanya. Ketika sampai ke satu tanjung, juak (gegelang) Datuk Paduka Raja dibunuh, dan tempat berkenaan diberi nama Tanjung Gelam mengikut ejaan kini (sebutan dialeknya: Tanjung Ggelang). Sampai di sebuah telaga, nakhoda (batin) kapal pula dibunuh, dan dikuburkan di tempat berkenaan. Tempat itu diberi nama Telaga Batin. Sampai di sebuah teluk di Seberang Takir, Datuk Paduka Diraja pula dibunuh, dan tempat kubur beliau diberi nama Teluk Datuk.

Kubur beliau dahulunya selalu diziarahi orang, kerana dianggap keramat, disebabkan alasan bahawa beliau adalah orang terainaya dan dibunuh dengan tidak berdosa. Kini, kawasan kubur beliau tidak lagi wujud dan kawasan sekitarnya dijadikan taman pada masa kini dengan nama Taman Rekreasi Tebing Tinggi, berhampiran Sekolah Kebangsaan Seberang Takir, Kuala Terengganu. Peristiwa serangan ini dipercayai berlaku di antara Julai hingga Ogos 1688 berdasarkan surat Bendahara Johor kepada Belanda.

 


Rujukan:

  1. Sejarah Darul Iman (MISBAHA)
  2. Lawatan Tapak Ganutalgia: Pencarian Kubur Datuk Paduka Diraja Wan Abdul Rahman