Bukit Keledang

 

Kota Lama Bukit Keledang merupakan kawasan sejarah yang amat penting di dalam pensejarahan Kesultanan Melayu Terengganu, Bukit ini pernah didirikan istana pemerintahan baginda Sultan Zainal Abidin I setelah berpindah daripada Hulu Terengganu. Bukit ini kaya dengan hasil sejarah dan artifak, terutamanya makam-makam lama. Baginda Sultan Zainal Abidin I juga dimakamkan di sini beserta dengan kaum kerabat baginda. Ada juga dakwaan tempatan mengatakan bahawa Megat Panji Alam dan Tun Telanai juga dimakamkan di sini.


KEDUDUKAN

Bukit Keledang membelakangi liku Sungai Terengganu menjadikannya kawasan yang terlindung daripada luruan air laut musim tengkujuh. Kedudukannya juga bertentangan kiblat menjadikannya lokasi sesuai untuk membina istana yang selari dengan arah berkenaan. Bukit Keledang juga terlindung daripada pandangan laut lepas menjadikannya sukar untuk diserang memandangkan bahagian belakang istana dikelilingi oleh paya, dikenali sebagai Paya Bunga. Kawasan bukit ini yang agak tinggi, memudahkan kegiatan meninjau sekiranya musuh menghampiri istana.

Kawasan ini juga terletak bersebelahan dengan Balik Bukit, berdekatan dengan Istana Bukit Jambul. Kini, terdapat satu jalan yang dibina di bahagian belakang bukit yang diberi nama Jalan Kota Lama. Kawasan ini dipelihara dan diisytiharkan sebagai salah sebuah makam diraja di Kuala Terengganu


SEJARAH

Cerita lisan merekodkan bahawa ketika baginda Sultan Zainal Abidin I meninjau kawasan ini, baginda telah duduk bersila di atas bukit ini sambil memerhatikan kawasan sekeliling, tiba-tiba sekuntum bunga keledang jatuh ke atas riba baginda. Pawang baginda yang melihat kejadian ini, memberitahu bahawa kawasan ini sesuai dan baik untuk dibina istana persemayaman. Kemudiannya, baginda mengarahkan pengikut baginda membina istana dan dipagari dengan kota yang diperbuat daripada papan. Istana ini kemudiannya menjadi istana persemayaman baginda sehinggalah ke akhir hayatnya.

Semasa Perang Saudara Terengganu pada 1831-1839, Tengku Mansur (kemudiannya menjadi Sultan Mansur Syah II) menjadikan kawasan sekitar ini sebagai kubu dalam usaha menentang Tengku Umar (kemudiannya menjadi Baginda Umar). Perang ini menyaksikan kemenangan berpihak kepada Tengku Mansur.

Kawasan ini juga kini digelar sebagai Kota Lama.


GAMBAR

 

 

 

 

 

 

 

 


Rujukan:

  1. Lawatan Tapak Ganutalgia